Pages

e votting mpp unimas

Tuesday, May 25, 2010

Kegiatan dalam internet tetap tertakluk kepada undang-undang: SKMM





2010/05/25
KUALA LUMPUR: Andaian bahawa tiada kawalan khusus terhadap laman web dan blog dadah di internet adalah tidak tepat kerana semua kegiatan yang dilakukan melaluinya adalah tertakluk kepada undang-undang negara.

Jurucakap Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, terdapat pelbagai undang-undang yang boleh dikuatkuasakan bagi kesalahan yang dilakukan melalui medium itu di mana agensi penguatkuasaan berkaitan sentiasa memantau serta menguatkuasakan peraturan di bawah bidang kuasa masing-masing.

"Internet sebagai medium berkomunikasi boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, sama ada untuk menjalankan perniagaan, memberi maklumat ataupun memberi ruang untuk para penggunanya berinteraksi antara satu sama lain. "Bagaimanapun kandungan (internet) dan kegiatan yang dilakukan melaluinya adalah tertakluk kepada undang-undang negara," katanya dalam kenyataan yang diemelkan kepada Bernama.

Beliau berkata, kenyataan itu dibuat bagi menjawab laporan akhbar baru-baru ini yang mendakwa ketiadaan kawalan khusus ke atas laman web dan blog sedemikian yang memaparkan cara-cara memproses dadah serta boleh dimuat turun secara mudah telah dijadikan antara alasan meningkatnya jumlah penagih dadah sintetik terutamanya di kalangan remaja dan belia negara ini.

Laporan itu mendakwa pihak berwajib lebih cenderung untuk membuat sekatan kepada laman pornografi atau yang memaparkan isu sensitif seperti politik, kaum dan agama berbanding kebanjiran pelbagai laman web dan blog dadah di internet ketika ini.

Untuk rekod, data Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Bionadi) menunjukkan jumlah penagih di seluruh negara pada tahun lalu adalah sebanyak 15,736 orang meningkat 27.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dengan 7,123 adalah penagih baru dan selebihnya penagih berulang.
Beliau berkata, SKMM tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan dan mendakwa penyedia perkhidmatan internet (ISP), sebaliknya hanya boleh membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan serta memberi arahan kepada ISP untuk menyekat capaian kepada laman web yang menyalahi undang-undang negara.

"Sebagai contoh, kegiatan muat turun melalui laman web yang menawarkan kandungan muat turun bahan berhakcipta secara haram adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di bawah Akta Hakcipta 1987.

"Sehubungan itu, pihak KPDNKK bertanggungjawab untuk memantau laman-laman web serta menguatkuasakan Akta tersebut untuk memastikan laman-laman web ini dapat dihapuskan," katanya.

Beliau berkata, peranan SKMM dalam perkara ini adalah untuk membantu siasatan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya perkara yang disiasat membabitkan penggunaan tidak wajar rangkaian termasuklah laman web, itupun sekiranya khidmat nasihat dan bantuan SKMM diperlukan.

"Dalam hal ini, bidang kuasa SKMM adalah terhad kepada apa yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana antara lain, Seksyen 211 melarang pemberian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang," katanya.

Beliau berkata, walaupun medium yang digunakan adalah melalui internet, secara amnya, undang-undang berkaitan dengan kawalan pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan penggunaan candu dan beberapa bahan dan dadah berbahaya tertentu sepertimana termaktub di dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah dikuatkuasakan oleh polis, bukannya SKMM.

Katanya, selain SKMM, Kementerian Kesihatan juga memainkan peranan membuat pemantauan ke atas laman-laman web serta mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas mereka yang mengiklankan ubat atau perkhidmatan perubatan tanpa kelulusan pihaknya, selaras dengan peruntukan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

"Walaupun bidang kuasa SKMM adalah terhad tetapi kami sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menangani kegiatan itu sekiranya khidmat nasihat dan kepakaran kami diperlukan," katanya.

Isu menjadikan internet sebagai "guru" untuk belajar cara memproses dadah menjadi gempar selepas penahanan pelakon terkenal Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, pada 11 Mac lalu yang membawa kepada terbongkarnya kegiatan itu yang dipercayai dilakukan oleh pelakon itu sejak enam bulan lalu.

Penahanan itu membawa kepada penemuan pemacu pena yang mengandungi dokumen berjudul "The Art of Methaphetamine Manufacture" atau cara memproses methaphetamine (syabu) dari stor di rumahnya yang dipercayai dimuat turun dan memaparkan kaedah lengkap pemprosesan syabu termasuk bahan campurannya. Dokumen itu turut disertakan teknik memproses secara visual.

Benjy, anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty, yang kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor, selama dua tahun didakwa mendapat ilham memproses dadah jenis syabu melalui rujukan di laman web sebelum maklumat itu disalin ke dalam pemacu pena.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Othman Harun seperti yang dilaporkan media turut mengakui kewujudan blog dan laman internet yang bertindak menjadi "guru" untuk mengajar teknik memproses dadah sintetik kepada pengedar dan penagih di negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kegiatan tersebut masih terkawal dan tidak membimbangkan berikutan ia dilakukan secara kecil-kecilan dan sederhana tanpa melibatkan sindiket tertentu. - Bernama

No comments:

Post a Comment